SEKADAR RENUNGAN


Sandarkan pada 999.9

MEMANG mereka bukan Tuhan. Tapi mereka punya fakta kukuh pengandal hujahan. Bukan saya kemukakan cadangan tanpa mengkaji kesahihan pendapat pakar-pakar ekonomi dunia yang meramalkan akan berlaku krisis ekonomi yang bakal meranapkan tugu ekonomi kapitalis, selama ini mendominan.
Tegar benar dia mempersenda usul saya agar membayar separuh daripada gaji tenaga kerja syarikat dengan dinar dan dirham. Mengganda penyimpan nilai aset syarikat selain dalam saham hartanah kepada bentuk emas tulen logam terindah ciptaan Allah.
Melihat dia masih lagi sangsi, saya tampilkan pentaukid bukti dengan mengutip bicara bapa ekonomi Islam. Ibn Khaldun menegaskan, jika tidak guna emas sebagai mata wang, ia mengundang krisis kewangan. Amaran itu sudah ternyata sahih apabila dunia menyaksikan tercetusnya krisis kewangan 14 tahun lalu secara berepisod. Malah kali ini dijangka lebih teruk.
Masakan dia tak faham, apabila ekonomi kapitalis menjunam, semua orang tidak lagi boleh membuat sebarang transaksi apatah lagi mengambil wang dalam mana-mana institusi perbankan? Hairan yang bukan kepalang melontar asak tanya saya ke kantung e-melnya.
Bukankah pernah kita berbincang selepas pulang dari menghadiri ceramah Matthias Chiang?
Kau terpegun apabila bekas penasihat politik Tun M itu jujur dalam wacananya biarpun kedengaran sangat gerun. Buku Future Fastfoward tulisan penganut Kristian Katolik yang anti Zionis itu sama-sama kita kupas sambil menikmati sepiring sukun.
Tidak cukupkah lagi bukti-bukti himpunan Chiang berupa kenyataan oleh penasihat-penasihat Bush, profesor di Havard dan Oxford, tulang belakang IMF, Bank Dunia dan para sifu Zionis yang mahir memanipulasi segala sumber kekayaan yang menyatakan sistem ekonomi kapitalis akan berantakan?
Bukankah kau sedia maklum tentang keadaan dunia akan jadi lebih teruk daripada krisis ekonomi dunia 1930-an? Lupakah juga kau bahawa dunia ini sekadar pinjam-pinjaman dan segalanya berkemungkinan? Sayang sekali hal sedemikian tidak dibahaskan dalam perhimpunan parti tahunan meski ia kian hampir menjadi kenyataan. Lima tahun bukanlah tempoh yang panjang, kawan!
Persoalan demi persoalan yang tidak dapat saya ajukan secara berhadapan, semuanya saya hantar ke mel elektroniknya. Sementara jiwa saya bertambah yakin apabila kakak yang pernah mewawancara Prof. Umar Vadillo ketika dia datang bertemu Tun M di Hotel Prince, teguh menyokong usaha saya ini.
Kakak berkongsi ilmu hasil menemubual pengkaji sistem kapitalis terkenal itu yang menerangkan secara rinci tentang sistem ini memang di ambang kehancuran. Sebab itulah ramai bijak pandai sekarang mulai beli duit emas keluaran syarikatnya yang beribu pejabat di Dubai dan bercawangan di Labuan.
kemusnahan
Ujarnya tanpa sembunyi, warga Malaysia paling banyak simpan duit emas dalam akaun syarikatnya ialah dua orang Tun. Maknanya kedua-dua Tun ini sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi kemusnahan sistem ciptaan Yahudi ini.
Bagaimana lagi harus dia, saya yakinkan? Sesekali datang perasaan mahu sahaja membiarkan lelaki lewat 30-an yang memang sinonim dengan kedegilan itu meniru aksi Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tidak tergamak pula rasanya untuk membiarkan kawan baik sendiri hanyut tanpa pertolongan.
Mungkinkah kerana perkenalan dengan rakan laman sosialnya yang dikatakan sanggup terbang dari Manhattan dan menawarkan diri untuk bekerjasama dengan anak syarikat Wangsajati itu punca utama rakan kongsi saya tiba-tiba bertingkah fikrah, memacu hala tuju sendiri?
Usai mesyuarat tadi, tidak saya sangka sama-sekali dia bangun dengan suara keras lalu menyanggah berapi-api cadangan saya agar membeli dan menyimpan aset emas dalam bentuk jongkong dan dinar buat bekalan menghadapi wabak krisis ekonomi yang bakal menular.
Barangkali, perancang strategi pelaburan syarikat Wangsajati itu perlu membaca sebuah lagi buku karangan Profesor Kamil Shufaad Bakri dari Fakulti Ekonomi di Taman Ilmu dan Budi. Zarah-zarah intelektual saya mula berdiskusi, mengusulkan cadangan berisi.
Susunan harta intelektual bangsa yang saya atur rapi menghiasi almari kamar bacaan, satu demi satu diamati. Akhirnya saya temui sejilid catatan sendiri ketika mendengar kuliah Prof. Shufaad Norani. Sayang sekali judul bukunya dirosakkan oleh tumpahan air pada dakwat basah atas kertas itu. Indera, minda dan jiwa pantas membaca ringkasan saya tulis baris demi baris.
Wang kertas atau dipanggil juga wang elektronik dalam bentuk angka itu sebenarnya tidak wujud pun dalam bank. Duit kertas yang disimpan di bawah bantal atau dalam tabung di rumah pula, saban tahun akan menyusut dan mengecut nilainya dengan teruk. RM1,000 hari ini tidak boleh membeli barang yang sama pada masa depan.
Peluh dingin mulai merenik dan perlahan-lahan berkumpul menuruni alur dahi terutama apakala saya tekun membaca penerangan ilmuan itu seputar kreasi wang (money creation)oleh pihak bank. Masalahnya, cerita fasal ini tidak disiarkan dalam akhbar arus perdana negara.
kebenaran
Betapa kesal saya memikirkan akhbar utama hanya memetik bulat-bulat laporan CNN, BBC, CNBC, Reauters yang jauh menyimpang dari kebenaran. Apa salahnya jika sesekali kutiplah juga isi-isi dari dalam akhbar sekutu Zionis seperti Herald, Weekly Commentator atauJerusalem Post. Bukan payah pun untuk akses versi maya. Inilah akhbar yang menemani sarapan pagi sifu-sifu Zionis.
Saya bertekad mahu mempertahankan pendirian saya di hadapan semua pemegang saham utama syarikat. Gigih saya menyelidik melalui Internet tentang kecairan wang. Kemudian saya kaji dengan mendalam hakikat kekayaan sebenar dalam Islam.
Jantung saya bagaikan disambar petir apakala minda mentafsir informasi menzahir. Ia sama seperti sejak dari alam kuliah lagi sudah pun saya fikir. Tanah. Moleknya berlokasi di tepi sungai atau yang berhampiran dengan sumber air mengalir. Emas dan perak. Sekali lagi dengupan jantung mengeraskan rentak.
Az-zahab wal fiddah inilah yang sedang dikumpul oleh juak-juak Zionis. AS dan Eropah dijadikan lokasi penyimpan rezab emas terbesar. Berkehendakkan emas, mereka tukar kepada negara lain dengan duit kertas. Puak-puak Zionis inilah juga pemilik bank-bank utama dunia yang rancak mengatur dan memanipulasi kewangan dunia tanpa puas.
Mustahil Mukallaf lupa akan sejarah dan asal-usul institusi perbankan? Amat tidak logik kalau dia tidak tahu yang kita semua satu dunia, simpan duit kertas yang menurut pakar ekonomi tidak akan bernilai di kemudian hari. Bukankah berlambak-lambak dalam laman sesawang bercerita tentang "kematian wang"?
Tidakkah sarjana ekonomi itu baca apa yang saya baca, sedangkan selama ini pemikiran kami serupa?
tercemar
Tanah, emas, minyak dan air bersih. Saya pahat empat khazanah Allah yang bernilai ini dalam benak. Sebak dada saya membayangkan air akan tercemar dengan teruk di masa depan. Sekarang pun sumber utama air iaitu sungai banyak yang tercemar. Kita sewenang-wenangnya mengabaikan kebersihan walhal ia warisan yang kita pinjam daripada generasi akan datang.
Saya masih belum berpuas hati dengan segala bahan yang saya kumpulkan sebagai isi presentasi esok. Saya teruskan pembacaan di talian maya.
BBC melaporkan pada tahun 2001, air Sea of Galilee (sebenarnya ia sebuah tasik) di Palestin sedang surut dan belum menampakkan petanda akan pasang semula. Saintis membuat perkiraan dalam tempoh 50 tahun lagi tasik itu akan kontang, tiada setitis pun bersisa. Timur Tengah dan Zionis akan bercakaran kerana air pula.
Menurut pendapat penganalisis kemelut dunia, era dahaga menjarah separuh kedua abad ini lantaran tiada air dan alam maya bakal bergelap-gelita kerana tiada minyak untuk menjana kuasa elektrik setelah habis sumbernya.
Serta-merta saya teringat pada seminar nuklear yang saya hadiri setahun yang sudah. Seorang pakar dari Jepun mengatakan minyak dalam bumi hanya bertahan selama 30 tahun sahaja hayatnya.
Saya bertanya Tan Sri Penasihat Sains Negara, "Apa tindakan kita sebab negara tak ada polisi tenaga nuklear?"
Selamba jawabnya, "Tiada komen. Awak tanya sendiri kepada menteri."
Saya hubungi pejabat menteri berkenaan tapi rezeki tidak menyebelahi, dia keluar negara atas urusan peribadi menguruskan pendidikan anak. Ketika itu saya sedang menulis artikel mengenai polisi tenaga nuklear negara sebagai persediaan menghadapi kepupusan minyak.
Kakak juga memaklumkan dia pernah wawancara seorang jutawan emas, Datuk Syukor Hashim yang mengakui dia tidak menyimpan wang kertas (fiat money) dalam bank, tapi simpan duit emas.
Ujar Datuk Syukor, "fiat, perkataan Latin bermaksud 'just to it.' Kublai Khan diisytihar oleh pengkaji matawang sebagai pencipta wang fiat pertama dunia. Ia pupus sedangkan dinar dan dirham musuh wang kertas. Syiling emas seberat 4.25 gram pada zaman Rasulullah dapat membeli seekor kambing dan sekarang dengan nilai 1 dinar bersamaan RM654 pada 1 Mac 2011 juga boleh membayar seekor kambing. Kini setelah 1400 tahun berlalu, harga seekor ayam sekitar 1 dirham (wang perak seberat 2.975 gram) bersamaan RM20.00."
Minda saya teringatkan sesuatu. Tentang tiga buah buku yang berkaitan wang kertas dan hubungkaitnya dengan riba (faedah bank) yang dihadiahkan oleh Datuk berkenaan. Oleh kerana hobi menulis memujuk saya menjadi ulat buku, sengaja kakak minta saya simpan buku-bukunya itu.
Helaian demi helaian buku koleksi pakar penganalisis kewangan itu terus saya hadam tanpa toleh kiri kanan meskipun perut mulai memberi isyarat meminta hak. Saya kira mashlahah ummah dan negara lebih mustahak.
Kalbu saya tak lekang berdoa agar Mukallaf dan para pemegang saham utama syarikat Wangsajati perasan akan peranan riba, duit kertas dan duit elektronik sendirilah punca penyebab kepada kehancuran sistem ekonomi kapitalis yang bakal menjelma sedikit masa nanti.
Sengaja saya memilih judul senjata makan tuan ini untuk digarisbawahkan. Ia bukti jelas krisis ekonomi Asia 1997 angkara George Soros pada zaman saya dan Mukallaf selesai mencapai status graduan.
"Ish, masakan semua kandungan bahan bacaan yang aku pinjamkan, telah Mukallaf luputkan dari ingatan?" Komen saya sendirian. Secalit kecewa memalit rasa memikirkan Zedrin Mukallaf sengaja memalapkan obor jiwa sufi fikrah haraki yang bertahun-tahun saya nyalakan dalam kalbu dan mindanya. Mengapa tidak gen ayahnya yang lahir di bumi yang sama dengan Yusuf al-Qaradawi mendominasi peribadi, mengalahkan asuhan ibunya yang taksub dengan gaya keluarga korporat berlatarkan pendidikan sekular negara kiwi?
Rakan kongsi berdarah kacukan Arab-Melayu itu acapkali saya mesrakan dengan kitab-kitab ulama silam. Kekaguman saya kian membara apabila dia mula menyukai fikrah Syed Qutub dan Hassan Al-Banna.
Nama pemberian bonda, kata Mukallaf, sangat sinonim dengan personaliti saya yang baginya memancarkan semangat, sumber tenaga dan sinar cahaya pencerahan jiwa.
Ucapan bombastik itu saya terima daripada Mukallaf sewaktu meraikan kejayaan saya memperolehi tender menyiapkan medan simulasi di Kementerian Pertahanan bagi mempersiapkan perwira negara ke medan peperangan dunia.
Setelah jeda seketika dibuai kenangan silam, selepas hak badan usai saya tunaikan, kewajipan kepada Pencipta pun sudah saya langsaikan. Senaskah al-Quran berkulit keras warna kemilau emas dan bercetak perak mengembalikan ingatan saya kepada tugas untuk memahamkan kawan seperjuangan apa sebenarnya hakikat kekayaan yang agama sarankan.
Maha Suci Allah menyerlahkan kebenaran nyata. Tatkala membaca Surah Yusuf, terkesima saya seketika. Tentera-tentera sebak, sayu dan hiba mula menguasai kota jiwa. Genangan di tubir mata gagal diseka, mula berkompromi dengan rasa.
Wahai Nabi Allah Yusuf a.s, betapa bersyukur dan berterima kasih daku atas kebijaksanaan dan kasih sayangmu sejak berabad lama dahulu. Segala peringatan dan pesananmu akan daku hebahkan.
Bersaksilah bahawa akan aku gegerkan betapa AS sekarang, selain emas dan minyak, sedang giat menyimpan sebanyak-banyaknya stok makanan.
Duit kertas dan duit elektronik dilambakkan ke negara lain di mana tiga per empat daripada dolar sekarang sedang berlegar- legar di luar AS. Menanti saat kejatuhan.
Begitu saya berkasam pada diri sendiri selepas menghayati intipati Surah Yusuf dan merujuk banyak rencana mengenai krisis dolar Amerika. Saya menterjemah kenyataan Warren Buffet, pelabur terulung dan manusia kedua terkaya di dunia.
"Kenaikan harga emas ini disebabkan ia tidak memiliki nilai nyata kecuali harga pasaran."
Dan kenyataan Paul Volker, bekas pengerusi Federal Reserve Board, dipetik sebagai berkata,we have a 75% chance of a crisis within 5 years.
Semoga ada yang berasa seperti terkena getah nangka dengan kesengajaan saya mengekalkan bahasa ibunda Volker sebagai penempelak kepada ahli lembaga pengarah yang gemar meminjam lidah penjajah ketika bersidang di meja bulat syarikat yang sepenuhnya berstatus bumiputera.
Berpuas hati dengan segala dalil hujahan, sepenuh keyakinan saya khatamkan akhir perenggan kesimpulan dengan sepotong hadis daripada Abu Bakar Ibn Abi Maryam yang meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Suatu masa akan sampai kepada manusia di mana tidak ada apa lagi yang tinggal berguna kecuali dinar dan dirham." (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal). Sebuah tanda tangan saya turunkan pada halaman akhir kertas pembentangan jelas boleh dibaca. Kirana.
Melalui sistem khidmat pesanan ringkas, saya kirimkan sebuah gubahan aksara kepada Mukallaf dengan iringan doa agar Allah sudi membaiki kompas imannya yang terbabas.
Setia mengajar saya, jika mahu jadi pencinta budiman sandarkan pada kenangan dan bijaksana mengajar saya, jika mahu jadi hartawan dermawan sandarkan pada emas 999.9!

No comments: